Print

UTHM bantu Jawatankuasa Masjid mahir bidang Elektrik

Posted in Berita Terkini

Pagoh: Seramai 23 orang terdiri daripada jawatankuasa dan imam masjid dari lapan buah masjid sekitar Pagoh telah mengikuti Kursus Asas Pengendalian Alatan Elektrik dan PA Sistem anjuran bersama Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 11 November lalu bertempat di kampus Pagoh.

Tujuan program ini adalah untuk memberi pendedahan asas secara demonstrasi amali dan latihan kepada peserta kursus dan berkongsi tip dan kemahiran berguna dalam pengendalian alatan elektrik dan PA sistem yang terdapat di dalam masjid. Tiga orang pensyarah dan pengajar daripada Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik turut membantu dalam memberi ilmu bidang elektrik supaya  peserta dapat membuat pembaikan pada peralatan sekiranya terdapat kerosakan atau masalah teknikal. Di samping itu, peserta dapat menimba pengetahuan dan pengalaman dalam menikmati kemudahan dan kepakaran yang terdapat di UTHM.

Antara masjid-masjid yang terlibat adalah Masjid Jamek Kg. Terus, Masjid Jamek Kg. Jawa, Masjid Jamek Kg. Semaseh, Masjid Jamek Kg. Olak Sepam, Masjid At Taqwa IKTBN Pagoh, Masjid Jamek Pekan Pagoh, Masjid Jamek Paya Redan Pagoh, Masjid Jamek Kg. Melayu Pagoh, dan Masjid An Nur Kg. Jawa Panchor.

Program yang diadakan adalah program berterusan dari tahun ke tahun ini telah disempurnakan oleh Profesor Dato’ Dr Abdul Razak Hj Omar, Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat) UTHM.

Beliau dalam ucapannya berkata penganjuran secara berkala untuk program seumpama ini adalah selaras dengan matlamat UTHM sebagai University-Community Engagement (UCE) dan Pusat Transformasi Universiti Komuniti (UCTC). Turut hadir Pengarah Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat, Encik Abd Hamid Yusof, Ketua Jabatan Pembangunan Sosial Komuniti, Engr. Muhammad Suhaimi Hj Sulong dan Pengerusi Jaringan Industri dan Masyarakat FKEE, Profesor Madya Dr Jiwa Abdullah.

masjid